Tahap Penguasaan & Standard Prestasi
Pelaksanaan PBD dalam KSSR dan KSSM melibatkan penentuan Tahap Penguasaan bagi setiap murid dengan merujuk kepada Standard Prestasi. Tahap Penguasaan dinyatakan secara eksplisit di dalam DSKP setiap mata pelajaran.
Ia merupakan satu bentuk pernyataan pencapaian yang menunjukkan perkembangan pembelajaran murid. Terdapat enam Tahap Penguasaan yang menunjukkan aras penguasaan yang disusun secara hierarki dan digunakan untuk tujuan rujukan pencapaian murid.
Tahap penguasaan ini mengambil kira pengetahuan, kemahiran dan nilai yang ditetapkan dalam kurikulum. Taksonomi yang berkaitan kognitif, psikomotor dan afektif digunakan sebagai asas membina tahap penguasaan.
PdP guru berdasarkan Standard Kandungan (SK) dan Standard Pembelajaran (SP) manakala Standard Prestasi merupakan indikator kepada tahap penguasaan murid.
Sasaran Minimum (Tahap 3)
Tahap penguasaan minimum bagi semua mata pelajaran ditetapkan pada Tahap Penguasaan 3. Setiap murid dibimbing dan diberi peluang untuk mencapai sekurang-kurangnya tahap ini. Guru perlu sentiasa berusaha mengambil tindakan susulan membantu murid.
Pengembangan (Tahap 4 - 6)
Guru perlu merancang pengembangan potensi agar murid mencapai Tahap Penguasaan 4 hingga 6. Murid diberi ruang meneroka pengalaman untuk mencapai tahap tertinggi dan boleh menjadi teladan serta membantu murid lain (Rakan Sebaya).
Asas Penentuan & Pertimbangan Profesional
Panduan tindakan guru sebelum menetapkan Tahap Penguasaan akhir.
Keperluan Pelaksanaan & Perekodan
- Guru perlu menyelesaikan PdP bagi satu kelompok bidang, tema atau kemahiran dalam Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran sebelum menentukan Tahap Penguasaan murid.
- Guru perlu merekod perkembangan murid sama ada di dalam buku rekod mengajar, buku latihan murid, buku catatan guru, buku amali murid, folio hasil kerja murid, senarai semak, jadual atau lain-lain yang bersesuaian.
Konsep Pertimbangan Profesional
- Guru perlu membuat pertimbangan profesional yang beretika dan bertanggungjawab berdasarkan analisis dan rumusan maklumat terhadap pembelajaran.
- Ia adalah pertimbangan yang dibuat menggunakan pengetahuan profesional terhadap hasrat kurikulum (mencakupi pengetahuan, kemahiran, nilai, bukti pencapaian, strategi pengajaran, dan kaedah pentaksiran).
4 Elemen Pertimbangan Profesional
Pengetahuan
Tanggungjawab Profesional
Pengalaman
Input Murid
Pernyataan Tahap Penguasaan (Umum)
Tafsiran hierarki penguasaan daripada peringkat asas hingga ke tahap inovatif.
Tahu Perkara Asas
Murid tahu perkara asas atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi respons terhadap perkara yang asas.
Tahu dan Faham
Murid menunjukkan kefahaman dengan menjelaskan sesuatu perkara yang dipelajari dalam bentuk komunikasi.
Tahu, Faham dan Boleh Buat
Tahap MinimumMurid menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran atau tugasan pada suatu situasi.
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
Murid menggunakan pengetahuan dan melaksanakan sesuatu kemahiran atau tugasan iaitu mengikut prosedur atau secara analitik dan sistematik.
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
Murid menggunakan pengetahuan dan melaksanakan sesuatu kemahiran atau tugasan pada situasi baharu dengan mengikut prosedur atau secara analitik dan sistematik serta tekal dan bersikap positif.
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali
Murid berupaya menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada untuk digunakan pada situasi baharu secara analitik, sistematik, bersikap positif, kreatif dan inovatif dalam penghasilan idea baharu serta boleh dicontohi.